LONDON: Seorang wanita terkejut selepas menerima lebih 400 keping surat yang sama daripada sebuah syarikat air dalam tempoh sehari.
Lapor Daily Star, Ella Tweed, 24, menemukan timbunan 440 kepingan sampul surat yang diletakkan di atas karpet alas kaki pintu rumahnya selepas pulang dari kerja.
Ketika Tweed menyusun semua sampul surat tersebut, ia menutup hampir sebahagian besar lantai di ruang tamu rumahnya.
Dilaporkan, surat itu daripada Severn Trent Water namun syarikat air itu memaklumkan ia dikendalikan oleh syarikat kontrak, Network Plus.
Tweed dari Ragbi, Warwickshire berasa hairan bagaimana kesilapan itu boleh berlaku.
Malah, dia juga tidak tahu apa yang perlu dilakukan dengan ratusan surat yang diterima daripada syarikat tersebut.
“Saya terkejut selepas membuka beberapa sampul surat dan mendapati semua kandungan surat itu adalah sama.
“Saya tidak mempunyai masa dan kesabaran yang tinggi untuk membuka semua 440 sampul surat itu,” katanya.
Tambah Tweed, semua kandungan surat itu menyatakan mengenai pemasangan meter air baharu.