PALU: Tayar yang tersekat pada badan seekor buaya sejak 2016 dan berjaya dikeluarkan baru-baru ini akan diletakkan di muzium untuk tatapan orang ramai.
Perkara itu diumumkan oleh Ketua Daerah Palu, Hadianto Rasyid selepas majlis makan tengah hari bersama pemuda yang berjaya mengeluarkan tayar tersebut, Tili di sini.
Selain itu, Hadianto juga merancang untuk membangunkan satu patung berserta kalungan tayar bagi memperingati peristiwa tersebut.
“Kita akan letak kalungan tayar itu dalam muzium selepas Palu Plaza siap dibina.
“Terima kasih juga diucapkan kepada Tili kerana berusaha mengeluarkan tayar tersebut dari buaya berkenaan,” katanya.
Dalam pada itu, Tili menzahirkan kesyukuran atas penghargaan yang diberikan kepadanya.
Jelas lelaki itu, menjadi tanggungjawabnya untuk membantu buaya tersebut.
“Terima kasih kepada semua pihak atas penghargaan yang diberikan dan apa yang penting, buaya itu sudah bebas dan diharap insiden serupa tidak berulang,” ujarnya.
Tayar tersebut diketahui sudah tersekat pada badan haiwan itu yang dikenali dengan jolokan ‘buaya berkalung tayar’ atau B3 sejak 2016.
Tayar itu berjaya dikeluarkan oleh seorang lelaki yang dikenali sebagai Tili, berasal dari Sragen, Jawa Tengah.
Ketika ditemui media, Tili menceritakan dia terlebih dahulu menangkap anak buaya berkenaan sebelum mengumpannya dengan 35 ekor ayam dalam tempoh tiga minggu.
“Saya juga gunakan sejumlah burung merpati sebagai umpan untuk menangkap buaya itu, selain tali sepanjang 300 meter.
“Alhamdulillah, usaha saya berhasil dan tayar itu berjaya dikeluarkan dari haiwan berkenaan dan selepas itu kami bebaskannya semula ke dalam sungai,” katanya.
Aksi Tili disaksikan oleh orang ramai yang berkumpul di Jambatan Palu, Tatura Selatan.
Pelbagai pihak termasuk pasukan dari luar negara telah cuba mengeluarkan tayar itu daripada haiwan tersebut namun menemukan kegagalan.
Antaranya termasuk hos rancangan National Geographic, Matt Wright dan pengacara Extinct or Alive on Animal Planet, Forrest Galante.