BANGKOK: Penduduk di utara wilayah Phichit menayangkan filem, melakukan persembahan tradisional dan membakar mercun di sebuah kawasan perkuburan sebagai ‘hiburan untuk si mati’ sempena sambutan Tahun Baharu Cina baru-baru ini.
Persembahan tradisional dan pembakaran mercun dilakukan pada pukul 5 petang waktu tempatan sebelum tiga filem ditayangkan.
Kawasan itu mempunyai kira-kira 330 kubur dan acara tersebut sudah dilakukan setiap kali tibanya Tahun Baharu Cina selama 57 tahun.
Selain itu, beberapa kawasan lain di Thailand turut melakukan acara yang sama.
Tujuannya sama iaitu ‘menghiburkan si mati yang kesunyian di kubur’.
Pihak penganjur memaklumkan, mereka sebolehnya ingin melakukan acara tersebut secara kerap dan tidak hanya pada musim perayaan.
Penganjur memberitahu, semakin banyak kawasan kubur tidak menerima pelawat sejak pandemik Covid-19 melanda.
Media tempatan melaporkan, masyarakat Cina di negara ini percaya pintu syurga akan terbuka pada Tahun Baharu Cina dan roh si mati akan berkeliaran untuk ‘melihat’ keluarga mereka.