Selepas Dudley dan Eunice, UK bakal dibadai Franklin

Selepas Dudley dan Eunice, UK bakal dibadai Franklin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Beberapa pengendali kereta api di Britain menasihati orang ramai supaya `mengelak daripada melakukan perjalanan’ jika boleh kerana perkhidmatan pengangkutan itu dijangka lumpuh akibat angin kencang dan hujan lebat.

Lapor Daily Mail, National Rail memberi amaran kepada para penumpang mengenai ‘gangguan besar’ pada laluan  kereta api yang merentasi sebahagian besar Great Britain selepas perkhidmatan pengangkutan itu disambung semula.  

Gangguan itu termasuk pembatalan, kelewatan dan pengurangan kelajuan ketika perjalanan.  

Pengumuman itu dibuat selepas agensi meteorologi mengeluarkan amaran angin kencang tahap jingga yang boleh menyebabkan `risiko kepada nyawa’ di Ireland Utara manakala amaran tahap kuning di England, Wales dan barat daya Scotland.

Rakyat Britain diberi amaran supaya bersiap sedia menghadapi angin kencang dan hujan lebat ketika Ribut Franklin dijangka membadai negara itu minggu ini.

TransPennine Express (TPE) pula menggesa para penumpang untuk tidak melakukan perjalanan sekiranya boleh terutamanya kepada mereka yang merancang untuk mengembara ke utara Preston di Lancashire sebelum pukul 10 pagi (waktu tempatan).

Pengarah Operasi TPE, Paul Watson berkata, perkhidmatan kereta api bakal terganggu di sepanjang Laluan Utama Pantai Barat akibat kesan Ribut Franklin.

“Keselamatan pelanggan dan kakitangan adalah keutamaan kami. Justeru, kami menasihati orang ramai untuk tidak melakukan perjalanan antara Preston dan Edinburgh/Glasgow sehingga selepas pagi esok.

“Mana-mana individu yang merancang untuk menaiki kereta api hari ini atau sebelum 10 pagi esok boleh memilih untuk menangguhkan perjalanan mereka atau menuntut bayaran balik,” jelasnya.

Menurut pengendali, sebarang perkhidmatan yang sedang beroperasi dijangka menjadi `sangat sibuk’.

Great Western Railway (GWR) turut mengulangi gesaan sama dengan meminta penumpang melakukan perjalanan hanya `jika benar-benar perlu’ kerana perkhidmatan dijangka terganggu dengan ketara di seluruh rangkaian.

National Rail pula meminta orang ramai menyemak semula sebelum melakukan perjalanan sekiranya mahu menggunakan perkhidmatan kereta api itu.

“Cuaca buruk boleh menyebabkan banjir, malah banyak pokok berisiko tumbang selepas dibadai Eunice sebelum ini.

“Jika keadaan bertambah buruk, sekatan kelajuan boleh dikenakan bagi memastikan anda melakukan perjalanan dengan selamat,” jelas syarikat itu.

Sementara itu, jabatan alam sekitar mengeluarkan ratusan amaran bencana banjir di seluruh United Kingdom (UK).

Ia termasuk dua amaran bahaya melibatkan penduduk yang menetap di sepanjang Sungai Mersey di Great Manchester.

Amaran itu dikeluarkan selepas beberapa insiden berlaku antaranya ombak besar menghempas kawasan pantai, rumah musnah akibat angin kencang dan agensi kecemasan mengerahkan anggota pertahanan banjir di sepanjang tebing sungai yang melimpah, semalam.

Dilaporkan, tebing Sungai Don di kawasan Sprotbrough di Doncaster, Yorkshire pecah pada malam Ahad sehingga polis meminta para penduduk menjauhkan diri daripada aliran air deras berbahaya itu.

Ahli meteorologi, Becky Mitchell berkata, minggu lalu menandakan kali pertama tiga ribut direkodkan dalam tempoh tujuh hari sejak sistem penamaan ribut bermula pada 2015.

“Sudah pasti Franklin akan memberi beberapa kesan namun ia dijangka tidak seteruk Eunice kerana angin kencang kuat melanda di pantai,” jelasnya.

Tiupan angin selaju 96.56 kilometer sejam (km/j) hingga 112kmj dijangka melanda pedalaman Ireland Utara pada awal pagi Isnin, manakala angin pada kelajuan 128.74km/j pula di pantai.  

Angin kencang pada kelajuan 96.56km/j dijangka melanda seluruh negara. 

Setakat semalam, Jabatan Alam Sekitar mengeluarkan dua amaran banjir teruk di Didsbury dan Northenden di Barat Laut. 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya