PARIS: Ahli virologi Perancis, Luc Montagnier yang memenangi Hadiah Nobel pada 2008 kerana menemukan virus HIV, meninggal dunia pada usia 89 tahun.
Berita mengenai kematiannya disahkan oleh pihak berkuasa Perancis dan Montagnier meninggal dunia di sebuah hospital, di sini pada Selasa lalu.
Ketika hayatnya, Montagnier mengetuai pasukan saintis yang mengenal pasti virus HIV yang merupakan penyebab utama AIDS pada 1983.
Beliau turut memenangi Hadiah Nobel dalam bidang perubatan yang dimenanginya pada 2008 bersama rakan saintisnya, Francoise Barre-Sinoussi.
Dalamm pada itu, Menteri Pelajaran Tinggi dan Penyelidikan Perancis, Frederique Vidal mengucapkann takziah kepada keluarga Montagnier dan memuji penyelidikannya mengenai HIV.
Montagnier dilahirkan pada 1932 di Chabris dan mendapat pendidikan dalam bidang perubatan di Poitiers serta Paris.
Beliau kemudiannya menyertai Pusat Penyelidikan Saintifik Kebangsaan (CNRS) pada 1960 dan dilantik sebagai ketua Jabatan Virologi di Institut Pasteur pada 1972.
Pada tahun 1983, mendiang bersama Barre-Sinoussi mengetuai pasukan di Institut Pasteur yang menemui virus HIV dan seterusnya menjelaskan bagaimana ia menjadi punca penyakit AIDS.