Rusia bersedia ‘dari semua penjuru’

Rusia bersedia ‘dari semua penjuru’

KERETA kebal Rusia bergerak meninggalkan Belarus setelah mengadakan latihan di negara itu. Belarus terletak bersempadan dengan Ukraine. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MOSCOW: Rusia menyokong usaha United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS) untuk meneruskan rundingan diplomasi dengan harapan Moscow tidak akan menyerang Kyiv seperti ditakuti Barat. 

Komitmen yang dizahirkan itu sekali gus menafikan kerisauan melampau kononnya Rusia akan menyerang Ukraine pada bila-bila masa.

Selepas mengadakan mesyuarat bersama Perdana Menteri Rusia, Vladimir Putin, Menteri Luar negara itu, Sergey Lavrov berkata, Moscow perlu mengadakan lebih banyak rundingan dengan Amerika Syarikat (AS) dan sekutunya selepas keengganan mereka mempertimbangakan tuntutan utama Rusia. 

Jelasnya, rundingan itu ‘tidak boleh diteruskan selama-lamanya, tetapi saya mencadangkan untuk diteruskan dan mengembangkannya pada peringkat ini’. 

“Washington menawarkan untuk membincangkan had penggunaan peluru berpandu di Eropah, sekatan ke atas latihan ketenteraan dan langkah membina keyakinan lain,” katanya memetik laporan Daily Mail. 

Ditanya sama ada masuk akal bagi Putin meneruskan usaha diplomatik, jawab Lavrov, rundingan perlu diteruskan sebelum peluang menjadi semakin tipis.

Bagaimanapun, agensi perisikan Barat mendakwa sebanyak 60 peratus tentera darat Rusia berkumpul di sempadan Ukraine, termasuk kapal perang Rusia berada di Laut Hitam. 

CAPAI DIPLOMASI

Perdana Menteri Britain, Boris Johnson menghubungi Presiden AS, Joe Biden bagi membincangkan konflik Ukraine selepas amaran awal dikeluarkan kononnya hanya berbaki tempoh 48 jam bagi mengelakkan serangan.

Pemimpin sekutu itu bersetuju akan mencapai penyelesaian diplomatik bagi mengelakkan tercetusnya peperangan di timur Eropah. 

Panggilan telefon tersebut berlangsung selama 40 minit, menurut penyunting berita politik ITV, Robert Peston. 

Jurucakap Downing Street berkata, Johnson dan Biden mencapai persetujuan masih ada ruang diplomasi dan Rusia perlu berundur daripada memberikan ancaman terhadap Ukraine. 

“Para pemimpin menekankan sebarang pencerobohan terhadap Ukraine akan mengakibatkan krisis berlarutan dengan kerosakan bukan sahaja berlaku di Rusia, tetapi menjejaskan dunia. 

“Sekutu Barat mesti kekal bersatu menghadapi ancaman Rusia, termasuk mengenakan sekatan ketat sekiranya pencerobohan Rusia meningkat. 

“Pada masa sama, negara-negara Eropah perlu mengurangkan kebergantungan terhadap sumber gas Rusia. Langkah itu dilihat dapat menyerang kepentingan strategik Rusia,” jelasnya.  

RUSIA TAMBAH TENTERA

Berdasarkan pelan yang dipersembahkan kepada Ketua Tentera Kremlin, tentera Rusia dikatakan sudah bersiap sedia ‘menyerang Kiev’ bagi menumbangkan kerajaan Ukraine. 

Sebanyak 10,000 tentera Putin akan diletakkan di selatan Ukraine bagi menyerang ibu negara, selain mengukuhkan rejim Pro-Rusia. 

Angka itu berkemungkinan meningkat kepada 20,000 orang sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan tentera Rusia sebanyak 130,000 orang di kawasan sempadan. 

Difahamkan, terdapat pencerobohan ‘dari semua penjuru’ oleh tentera Rusia yang didakwa akan menyusup ke negara itu dari Belarus dan Crimea, sebelum bertumpu di timur Ukraine. 

“Misi mereka adalah untuk menghalang tentera Ukraine di timur negara itu, sebelum kembali mempertahankan Kiev.

“Strategi Rusia sangat pantas dan kritikal dengan kenderaan lebih ringan dan sistem senjata dipilih untuk melancarkan serangan darat,” menurut pelan tersebut. 

MUSTAHIL BERLAKU PERANG

Dalam pada itu, penganalisis politik antarabangsa, Ayman Rashdan Wong yakin ketegangan kali ini tidak akan mencetuskan peperangan. 

Sekalipun berlaku peperangan, jelasnya, hanyalah melibatkan peperangan dalam tempoh singkat dan terhad yang lebih melibatkan usaha Rusia mengukuhkan posisinya di timur Ukraine. 

Penulis buku Dunia Tanpa Tembok itu malah menzahirkan 99 peratus keyakinan sekiranya berlaku serangan Rusia terhadap Ukraine, situasi tersebut tidak akan mencetuskan Perang Dunia Ketiga. 

“Ini kerana Ukraine belum menjadi negara anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO). Kalau Ukraine bukan ahli NATO, maka AS, UK, Perancis dan Jerman tidak wajib mempertahankan negara itu,” jelasnya. 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya