LONDON: Kira-kira 200,000 kediaman penduduk di Britain dilaporkan masih terputus bekalan elektrik selepas Ribut Eunice melanda Eropah sejak kelmarin.
Lapor Al Jazeera, serangan ribut terburuk dalam tempoh beberapa dekad itu juga menjejaskan perkhidmatan rangkaian pengangkutan di rantau tersebut.
Ribut Atlantik yang melanda United Kingdom (UK) dengan kelajuan angin melangkaui rekod iaitu 196 kilometer sejam (km/j) mengorbankan sekurangnya-kurangnya empat orang dan menyebabkan gangguan secara meluas.
Sekurang-kurangnya enam kematian lagi dilaporkan di Ireland, Belgium dan Belanda.
Menteri Perniagaan dan Tenaga UK, Kwasi Kwarteng berkata, bekalan elektrik kediaman membabitkan hampir 1.2 juta isi rumah sudah dipulihkan.
Namun, katanya, kira-kira 190,000 rumah penduduk masih terputus bekalan elektrik.
“Angin kencang merentasi selatan England menjejaskan usaha pemulihan bekalan elektrik.
“Kami menjangkakan bekalan elektrik akan dipulihkan secara berperingkat,” katanya.
Terdahulu, Persatuan Rangkaian Tenaga UK memaklumkan sebanyak 226,000 rumah kebanyakannya di selatan dan timur England serta selatan Wales terputus bekalan elektrik akibat bencana tersebut.
Hampir sejuta rumah terputus bekalan elektrik pada November tahun lalu ketika ribut melanda timur laut England dan timur Scotland.
Sementara itu, pengendali kereta api di UK menggesa orang ramai untuk tidak melakukan perjalanan kerana pokok-pokok tumbang akibat ribut itu menyekat beberapa laluan selepas kebanyakan rangkaian ditutup.
Setakat ini, ribut itu sudah mengorbankan sembilan orang dan jutaan penduduk masih dinasihatkan berada di rumah bagi mengelak insiden tidak diingini berlaku.- AGENSI