KHARTOUM: Ribuan penunjuk perasaan Sudan `turun ke jalanan’ di seluruh negara untuk menyertai protes menentang rampasan kuasa tentera yang berlaku pada Oktober tahun lalu dan menuntut pembebasan tahanan.
Lapor Al Jazeera, siri demonstrasi menggesa pemerintahan awam di Sudan, tercetus di seluruh negara itu meskipun tindakan kekerasan berlaku sejak rampasan kuasa diketuai Abdel Fattah al-Burhan.
Rampasan kuasa itu turut mencetuskan kecaman antarabangsa secara meluas dan sekatan bantuan.
Penunjuk perasaan menggesa tentera untuk `pulang semula ke berek’ dalam protes yang berlaku di bandar Wad Madani, selatan Khartoum.
Menurut seorang saksi, Amal Hussein, penunjuk perasaan melaungkan slogan `kerajaan awam adalah pilihan rakyat’ pada protes di wilayah timur Gadarif.
Berdasarkan beberapa saksi lain, penunjuk perasaan juga berarak untuk berkumpul di luar bangunan kerajaan di bandar pelabuhan Red Sea namun pasukan keselamatan menghalang laluan mereka dengan melepaskan gas pemedih mata.
Di wilayah sempadan timur Kassala pula, penunjuk perasaan muda melaungkan slogan `bantah pemerintahan tentera’ ketika mereka berarak menuju ke arah pangkalan tentera di bandar itu.
Menurut laporan agensi berita, pasukan keselamatan di Khartoum melepaskan gas pemedih mata ke arah ratusan penunjuk perasaan yang cuba berhimpun di luar istana presiden.
Sementara itu, sekumpulan ahli perubatan memaklumkan sekurang-kurangnya 82 orang terbunuh dalam tindakan kekerasan berkenaan.
Katanya, kebanyakan orang maut ditembak manakala ratusan lagi dicederakan oleh pasukan keselamatan.
“Jumlah individu ditahan sudah melebihi 200 orang,” jelas kenyataan dikeluarkan oleh sekumpulan peguam pro-demokrasi.
Dilaporkan, beberapa tokoh poliyik dan aktivis anti-rampasan kuasa antara individu yang ditahan.
Menurut peguam Enaam Attik, pihak berkuasa mengarahkan lebih 40 orang yang ditahan dalam tindakan kekerasan itu, dibebaskan dengan segera. – AGENSI