Provokasi melampau di Ukraine boleh cetus perang - Utusan Malaysia

Provokasi melampau di Ukraine boleh cetus perang

PESERTA demonstrasi memegang sepanduk tertera 'Stop Putin, Stop War' dalam warna bendera Ukraine di Pintu Brandenburg, Berlin.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Provokasi melampau dilakukan Amerika Syarikat (AS) serta United Kingdom (UK) terhadap Rusia dalam krisis terkini di Ukraine, termasuk merancang operasi serangan palsu atau ‘false flag’, dikhuatiri mendorong dunia terjerumus ke kancah peperangan global.

Sumber dari pihak Rusia memberitahu Utusan Malaysia, AS telah menggiatkan eksport senjata dengan menghantar 100 tan ‘senjata pemusnah’ termasuk lima buah helikopter Mi-17 ke Kiev, sementara UK pula membekalkan Ukraine dengan beberapa ribu buah peluru berpandu anti kereta kebal serta  shoulder-launched anti-aircraft missile systems.

Pada masa sama, sumber mendakwa Uk turut merancang operasi serangan palsu, dengan mengarahkan anggota pengganas menyarungkan seragam tentera Rusia dan membuat serangan sabotaj di sempadan Rusia-Ukraine.

“Bagaimana mungkin, Rusia yang dituduh memulakan provokasi ke atas Ukraine? Sedangkan baru-baru ini, seorang Menteri Britain, James Heappey mengaku kepada media, bahawa UK telah membekalkan beribu-ribu unit peluru berpandu anti kereta kebal kepada Ukraine.

“Terdahulu, seorang jurucakap dari wilayah Donestk (wilayah pro-Rusia dalam jajahan Ukraine) menggariskan butiran kewujudan komplot untuk menjalankan operasi palsu (false flag) di dua wilayah timur Ukraine. Saya difahamkan, komando di bawah kawalan Kiev merancang untuk memakai pakaian seragam pasukan khas Rusia serta pejuang tempatan di Donestk.

“Sumber juga memberitahu bahawa, Ukraine sedang menyediakan enam unit terlatih dari Britain dengan tugas menyusup ke kawasan yang dikuasai pemberontak di wilayah sempadan Ukraine-Rusia.

“Dari situ, komando yang sebenarnya ejen provokasi, disyaki akan melakukan lencongan dan serangan pengganas ke atas stesen janakuasa, bekalan gas dan air, serta loji kimia.

“Jika diperhatikan, sebelum Perang Dunia Pertama, ejen pemberontak melakukan false flag membunuh maharaja Austria-Hungary, iaitu Franz Ferdinand. Sama juga, sebelum Perang Dunia Kedua, ada pengganas lakukan false flag di sempadan Poland-Jerman,” dakwanya.

Ketegangan terkini di Ukraine mendorong AS mengarahkan semua keluarga petugas kedutaannya di Ukraine supaya meninggalkan negara itu, mendakwa terdapat ancaman Rusia untuk menceroboh Ukraine.

Moscow bagaimanapun menafikan dakwaan itu, menyifatkannya sebagai berita palsu.

Sementara itu, sumber dari sebuah agensi perisikan tanah air memberitahu, krisis Rusia-Ukraine tidak akan mendorong peperangan membabitkan penggunaan senjata nuklear.

Katanya, ini kerana dalam situasi di mana semakin banyak negara-negara memiliki peledak nuklear, peperangan sebegitu akan mengakibatkan bencana besar yang akan membawa kemusnahan berskala global.

“Saya fikir, AS dan UK tidak akan berani mengisytihar perang ke atas Rusia, apatah lagi apabila Rusia mempunyai bilangan peledak nuklear yang cukup banyak sekali gus mampu mempengaruhi keputusan peperangan, jika ia benar-benar berlaku.

“Apapun, Rusia bukan sebuah negara penjajah, malah sejarah memang membuktikan perkara ini. Melalui maklumat yang kami perolehi, mereka hanya ingin memastikan Pertubuhan Atlantik Utara (NATO) tidak meneruskan dasar perluasan sempadan sehingga menjejaskan kedaulatan Rusia,” katanya.

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya