PESHAWAR: Pihak polis sedang giat memburu seorang bomoh yang memaku kepala seorang wanita mengandung sebagai jaminan dirinya akan melahirkan anak lelaki.
Lapor BBC, mangsa yang sedang mengandungkan anak perempuan keempat memberitahu kakitangan hospital dia sendiri memaku kepalanya atas nasihat seorang bomoh.
Bagaimanapun, mangsa yang sedang mengandung tiga bulan itu kemudian mengaku bomoh tersebut yang melakukannya.
Wanita itu sanggup merelakan dirinya diperlakukan sedemikian kerana bimbang diugut suami yang akan meninggalkan dirinya sekiranya melahirkan seorang lagi bayi perempuan.
Dr. Haider Khan yang merawatnya berkata, ibu kepada tiga anak perempuan itu datang ke Hospital Lady Reading selepas gagal mencabut sendiri paku berkenaan menggunakan playar.
Jelasnya, imbasan X-ray menunjukkan paku sepanjang lima sentimeter itu menembusi bahagian atas dahi wanita tersebut, dan mujur tidak mengenai bahagian otaknya.
“Kita dapati tukul atau objek berat digunakan bagi memasukkan paku ke dalam kepalanya.
“Dia masih sedar sepenuhnya tetapi dalam keadaan terlalu sakit,” katanya.
Ramai bomoh mengambil kesempatan terhadap penduduk di Pakistan dengan mendakwa amalan mereka kononnya berteraskan fahaman Sufi, sedangkan aktiviti mereka dilarang dalam Islam.
Di negara miskin Asia Selatan, anak lelaki dianggap sebagai jaminan keselamatan dan kewangan serta lebih menguntungkan ibu bapa berbanding anak perempuan.