HATFIELD: Akibat tersalah komunikasi disebabkan pemakaian pelitup muka, seorang pegawai perubatan Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS) tersalah beri dos ubat berlebihan kepada seorang pesakit lelaki sehingga menyebabkan mangsa maut.
Lapor Daily Mail, doktor junior yang merawat John Skinner memberikan tiga kali ganda dos fenitoin ubat selepas tersalah dengar arahan daripada doktor senior.
Mangsa sepatutnya menerima 15 mikrogram (mg) dos ubat, namun, doktor tersebut tersalah dengar dengan memberikan kuantiti 50 mg yang membunuhnya dalam masa beberapa minit.
Lelaki itu maut di Watford General Hospital, Mei 2020, akibat kegagalan jantung berfungsi dan toksik fenitoin.
Dalam perbicaraan yang berlangsung, Penolong Koroner Hertfordshire, Graham Danbury menjelaskan kematian berpunca akibat ‘kegagalan komunikasi antara doktor disebabkan kedua-duanya memakai pelitup muka’.
Laporan turut memberi amaran akan terjadi risiko kematian serupa pada masa akan datang, melainkan pihak hospital menggunakan ‘komunikasi lebih jelas’.
Skinner dimasukkan ke hospital selepas diserang sawan semasa gelombang pertama pandemik Covid-19.
Lelaki itu diberikan phenytoin iaitu ubat antileptik yang berfungsi mencegah dan mengawal kekejangan.
Berdasarkan laman web NHS, dos fenitoin digunakan bagi merawat epilepsi dengan kuantiti antara 200 hingga 500 mg sehari bagi orang dewasa.
Mangsa bagaimanapun menerima kuantiti 3,500 mg.
Sementara itu, jurucakap hospital menjelaskan tindakan komprehensif diambil bagi memastikan pengajaran diambil daripada insiden tersebut.