NEW YORK: Perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) melibatkan bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng, terpaksa ditangguhkan sementara, berikutan kelewatan pendakwa raya mendedahkan dokumen berkaitan Tim Leissner kepada pihak pembelaan.
Lapor Bloomberg, penangguhan oleh Hakim Margo Brodie dibuat semasa sesi prosiding perbicaraan Ng di Mahkamah Tinggi Brooklyn yang dituduh membantu menyelewengkan dana 1MDB.
Menurut pendakwa raya, lelaki itu menerima berjuta-juta dolar sebagai sogokan bagi membantu menggelapkan dana 1MDB.
Bekas Ketua Perbankan Pelaburan Goldman di Malaysia itu mengaku tidak bersalah atas tuduhan bersubahat dalam pengubahan wang haram dan melanggar undang-undang anti-rasuah.
Ng didakwa mendapatkan keuntungan secara haram menerusi wang AS$35 juta (RM140 juta), namun, peguamnya mempertahankan hujah ia adalah hasil usaha perniagaan yang tidak berkaitan antara isteri Ng dan bekas isteri Leissner yang merupakan bekas ketuanya.
Pasukan pendakwaan melalui surat yang difailkan di mahkamah Rabu lalu, iaitu lebih seminggu selepas perbicaraan Ng bermula memaklumkan, pihak kerajaan gagal mendedahkan bukti membabitkan 15,500 dokumen berkaitan Tim Leissner yang merupakan bekas ketua Ng di Goldman Sachs.
Salah seorang peguam Ng, Marc Agnifilo mempersoalkan tindakan pihak kerajaan yang pada ketika ini tidak memenuhi tanggungjawab mereka kerana bukti dimasukkan sedikit demi sedikit.
Jelasnya, dokumen tersebut adalah penting bagi pihak pembelaan.
Beliau malah pernah meminta pihak pendakwa raya memastikan semua pendedahan dibuat dan kelewatan itu agak ‘membimbangkan’.
“Saya telah membuat aduan selama dua tahun setengah tentang bukti yang ‘berjalan perlahan’ oleh pihak kerajaan.
“Sedangkan saya perlu mempertahankan anak guam. Kerajaan sama sekali tidak memenuhi tanggungjawab. Ini adalah kegagalan yang serius dan tidak boleh dimaafkan,” jelasnya.
Pendakwa raya AS, Alixandra Smith dalam surat kepada mahkamah menyatakan, kegagalan mendedahkan dokumen lebih awal adalah ‘kesilapan yang tidak boleh dimaafkan’ dan tidak membantah perbicaraan ditangguhkan sementara.
Dalam perkembangan sama, ahli perniagaan yang menjadi buruan, Low Taek Jho atau Jho Low memaksa jurubank Leissner untuk memberikan ‘derma’ kepada Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri (Bakti).
Menurut keterangan Leissner di mahkamah Selasa lalu, dia menyatakan dalam kiriman emel kepada Ng bahawa Low ‘mengejarnya’ untuk memberikan derma itu.