ALASKA: Pihak pengurusan Lapangan Terbang Antarabangsa Anchorage di sini memaklumkan banyak syarikat penerbangan mengemukakan pertanyaan mengenai kapasiti mereka sekiranya laluan merentasi Rusia terjejas akibat perang yang berlaku di Ukraine.
Lapangan terbang itu merupakan satu daripada hab pengisian semula minyak yang terkenal bagi penerbangan jarak jauh ketika era Perang Dingin, terutamanya untuk pesawat Barat yang tidak dapat menggunakan ruang udara Rusia bagi meneruskan perjalanan dari Eropah ke Asia.
Japan Airlines membatalkan perjalanan ke Moscow semalam disebabkan faktor keselamatan, manakala Britain menutup ruang udaranya kepada semua syarikat penerbangan Rusia, termasuk Aeroflot.
Ukraine juga menutup ruang udaranya, menyebabkan banyak syarikat penerbangan mempunyai pilihan laluan yang terhad.
Emirates turut membuat perubahan laluan untuk perjalanan ke Stockholm, Moscow, Saint Petersburg dan sejumlah syarikat penerbangan Amerika Syarikat (AS) memaklumkan laluan yang terhad akan menyebabkan tempoh penerbangan menjadi lebih lama.
Syarikat penerbangan Jerman, Lufthansa pula memaklumkan tiada keperluan untuk syarikat tersebut membatalkan penerbangan ke Moscow.
Koperasi industri penerbangan, OPS GROUP yang berkongsi maklumat risiko penerbangan memaklumkan, mana-mana pesawat yang ingin melalui ruang udara Rusia perlu membuat perancangan rapi sekiranya ia ditutup akibat sekatan.
“Rusia tidak mungkin akan mengenakan sekatan dan larangan penerbangan di ruang udara sendiri kerana negara itu tidak mahu Aeroflot menerima kesan.
“Namun, itu tidak bermakna Rusia tidak akan bertindak balas terhadap sekatan yang dikenakan oleh negara lain,” jelasnya.
Sementara itu, Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) akan mengadakan perbincangan mengenai konflik Rusia-Ukraine dalam satu mesyuarat. – REUTERS