LONDON: Perancis dan United Kingdom (UK) akan menghantar bekalan senjata ke Ukraine bagi membantu pihak tentera berhadapan askar Rusia.
Lapor BBC, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky memuat naik ciapan dalam Twitter sudah menghubungi Presiden Perancis, Emmanuel Macron awal pagi, hari ini, ketika pertempuran menyaksikan episod baharu di ibu negara.
“Gabungan anti-peperangan sedang bekerjasama,” tulisnya.
Menteri Angkatan Tentera UK, James Heappy turut memaklumkan perkara sama dan lebih banyak bekalan senjata akan dihantar ke Kyiv.
Jelasnya, UK bersama 25 negara lain turut bersetuju membekalkan lebih banyak ‘bantuan kemanusiaan’ ke negara itu.
“UK sedang bekerjasama dengan negara terlibat untuk menyelaraskan bagaimana bantuan ketenteraan dapat dihantar dan diserahkan kepada rakyat Ukraine,” katanya.