MEXICO: Seorang wanita bergelut dengan pengawal keselamatan kapal persiaran sebelum dia nekad terjun dari balkoni ke dalam laut di Teluk Mexico.
Lapor Daily Mail, rakaman video menunjukkan tiga pengawal keselamatan di kapal persiaran, Carnival Valor memegang lengan wanita yang kelihatan panik di belakangnya.
Wanita itu bagaimanapun tidak digari walaupun penumpang lain menuntut tindakan tersebut selepas berlaku insiden pergaduhan di tab mandi.
Wanita itu menjerit nama ‘Alicia’ ketika pengawal mengiringi wanita itu menaiki tangga dan keluar dari kawasan kolam.
Selepas diiring keluar, wanita berusia 32 tahun itu didakwa melepaskan diri daripada pengawal dan melompat dari tingkat sepuluh kapal tersebut ke dalam lautan.
Penumpang lain yang terkejut dilihat bergegas ke bahagian tepi kapal ketika anak kapal melemparkan penyelamat dan suar untuk menandakan kedudukannya di dalam air.
Penumpang lain memaklumkan wanita itu hilang dari pandangan tidak lama selepas itu.
Wanita itu menaiki kapal pelayaran selama lima hari ke Mexico bersama suaminya, selepas berlepas dari pelabuhan New Orleans, Sabtu lalu.
Pengawal pantai yang melakukan pencarian selama 14 jam itu terpaksa menangguhkan operasi mereka.
Kapal persiaran tersebut membawa seramai 2,980 tetamu dan 1,180 anak kapal.