KYIV: Sepasang pengantin baharu tidak menyangka mereka akan memegang senapang AK-47 pada hari pertama perkahwinan mereka selepas Rusia menyerang Ukraine.
Sviatoslav Fursin, 24, dan isterinya, Yaryna Arieva, 21, mulanya merancang untuk berkahwin pada Mei depan, namun mempercepatkannya selepas Presiden Rusia, Vladimir Putin mengarahkan negara itu menyerang Ukraine.
Selepas mengangkat ikrar perkahwinan di sebuah gereja di Kyiv, pasangan itu kemudiannya mendaftar sebagai anggota tentera bagi membantu mempertahankan negara ini.
“Selepas majlis perkahwinan selesai, kami terus pergi ke Pusat Pertahanan Wilayah untuk menerima arahan.
“Situasi ketika ini amat sukar. Kami perlu pertahankan tanah air kami, kami mungkin akan mati dan sebelum itu, kami hanya bersama,” katanya seperti yang dilapor Daily Star.
Pasangan itu bertemu dalam satu protes di Kyiv pada Oktober 2019 dan menjadi rakan baik sebelum membuat keputusan untuk berkahwin.
Sementara itu, Arieva menzahirkan harapan supaya peperangan segera berakhir agar semua rakyat Ukraine boleh meneruskan kehidupan seperti biasa walaupun berdepan kesukaran.
“Saya cuma berharap semuanya kembali normal, kami selamat di tanah kami tanpa Rusia menceroboh,” ujarnya.