AMSTERDAM: Lebih 3,900 orang dilaporkan ‘berminat’ menyertai sebuah acara yang menggesa penduduk Rotterdam membaling telur busuk pada kapal layar baharu dibina oleh hartawan, Jeff Bezos.
Struktur jambatan bersejarah di Belanda mungkin akan dileraikan bagi membolehkan kapal layar yang bernilai 400 juta pound (RM2.26 juta) itu melalui kawasan perairan tersebut.
Lapor Daily Mail, lebih 900 orang menekan butang ‘hadir’ pada satu acara dalam Facebook yang meminta semua warga Rotterdam secara beramai-ramai membaling telur terhadap kapal layar ketika ia melalui jambatan Koningshavenbrug pada musim panas nanti.
Acara yang dianjurkan oleh Pablo Strörmann itu, bakal diadakan pada 1 Jun depan.
“Bawa sekotak telur (busuk) bersama anda dan mari kita baling secara beramai-ramai pada kapal layar besar Bezos apabila ia berlayar melalui jambatan bersejarah di Rotterdam,” katanya.
Berdasarkan laporan media tempatan, limbungan yang membina kapal Y721 memohon jambatan Koningshavenbrug dileraikan buat sementara waktu untuk membawa kapal sepanjang 197 meter itu ke laut.
Dilaporkan, kos bagi meleraikan jambatan ikonik yang dikenali sebagai De Hef akan ditanggung sepenuhnya oleh pengasas Amazon itu.
Y721 ketika ini giat dibina di limbungan kapal Oceano di Alblasserdam di barat Belanda.
Biasanya, kapal baharu melalui jambatan itu pada jarak 39.6 meter sebelum bahagian tiang dipasang.
Namun, menurut limbungan, struktur Y721 yang lebih tinggi daripada jambatan itu menyebabkan tidak praktikal untuk melayari kapal layar tersebut ketika sebahagiannya sudah dibina.