NEW YORK: Seorang pemburu dari Mississippi berjaya menangkap dan membunuh seekor buaya yang berusia hampir 80 tahun di sebuah tasik di selatan Florida.
Lapor Daily Mail, Doug Borries menangkap buaya seberat 410 kilogram (kg) dan sepanjang empat meter.
Bagaimanapun, reptilia ganas yang sering memakan haiwan ternakan di tasik itu bukanlah buaya terbesar ditangkap di Florida.
Borries yang memiliki Dynamic Outdoors TV, memuat naik video penangkapan buaya itu dalam halaman Facebooknya.
Borries pernah mencatatkan sembilan rekod dunia dan 36 rekod negeri bagi usahanya dalam memburu dan memancing.
Sementara itu, Borries berkata, dia mula memburu buaya besar tersebut selepas rakannya memaklumkan mengenai reptilia ganas itu yang sudah wujud sejak zaman kanak-kanaknya.
“Rakan saya mendakwa dia melihat buaya itu sejak dia masih kecil. Jadi, saya rasa sudah tiba masanya untuk memburu reptilia itu,” katanya kepada WWXV25.
Borries menemukan buaya itu di sebuah tasik di Okeechobee County, kira-kira 457.2 meter menggunakan skop senapang STW 7mm miliknya.
Reptilia ganas itu ditembak di bahagian atas kepala ketika ia menghampiri Borries pada jarak 164 meter.
Pemburu itu kemudian menarik buaya berusia 80 tahun itu keluar dari dasar tasik dan terkejut melihat saiznya yang begitu besar.