TOMOROT: Operasi menyelamat kanak-kanak lelaki berusia lima tahun yang terperangkap dalam telaga pada kedalaman 32 meter masih berlangsung dengan pasukan penyelamat semakin menghampiri kedudukan mangsa.
Kanak-kanak itu yang dikenali sebagai Rayan dilaporkan terjatuh ke dalam telaga itu pada Selasa lalu dan sejak itu, operasi menyelamatkannya giat dilakukan.
Laporan terkini memaklumkan pasukan keselamatan berada kira-kira 1.8 meter dari kedudukan Rayan dan operasi menyelamat boleh dilakukan segera jika tiada berlaku insiden tidak diingini seperti tanah runtuh.
Selain itu, pasukan keselamatan juga tidak dapat memastikan sama ada Rayan masih hidup atau sebaliknya dan sehubungan itu, mereka bertungkus lumus untuk mengeluarkan kanak-kanak itu dalam kadar segera.
“Berdasarkan kamera yang dimasukkan ke dalam saluran itu, Rayan terbaring dan kami tidak dapat pastikan sama ada dia masih hidup atau tidak.
“Bekalan oksigen dan makanan juga diturunkan sebelum ini, namun kami juga tidak pasti adakah Rayan menggunakan semua bantuan itu,” menurut ketua pasukan keselamatan, Abdelhadi Tamrani seperti yang dilapor BBC.
Operasi menyelamat kanak-kanak itu disaksikan banyak pihak di seluruh dunia dengan semuanya sentiasa menunggu perkembangan semasa mengenai keadaan Rayan.
Sementara itu, ibu bapa Rayan terus menunggu dengan penuh kesabaran dan tidak putus berdoa agar anak mereka dapat dikeluarkan dengan selamat.
“Kami tidak boleh tidur, minum atau makan apabila memikirkan keadaan Rayan. Kami amat berharap anak kami dikeluarkan dengan selamat.
“Rayan anda kena kuat, ibu dan ayah menunggu kamu di luar ini,” kata bapanya.
Media sosial Maghribi turut dibanjiri dengan #SaveRayan dan orang ramai berharap ada keajaiban berlaku.