JAWA BARAT: Sebuah pasar raya di Jalan Raya Lanud Sugiri, Sukani, Majalengka menetapkan syarat kepada semua pembeli untuk mencelup jari kelingking dalam dakwat bagi mengelakkan mereka membeli minyak masak berulang kali.
Lapor Tribunnews, golongan wanita sanggup beratur selama berjam-jam di pasar raya itu hanya kerana mahu mendapatkan dua liter minyak masak murah.
Malah ada yang sanggup beratur seawal pukul 6.30 pagi bagi mendapatkan barangan keperluan tersebut.
Imah, 56, dari Desa Ciborelang, Jatiwangi memberitahu dia beratur di depan pasar raya sejak pukul 6.00 pagi kerana takut bekalan minyak masak kehabisan.
Katanya, selepas beratur lebih dua jam, dia berjaya mendapatkan sebungkus minyak goreng dua liter.
Minyak masak murah itu dijual dengan 20,000 rupiah (RM5.90) bagi seliter.
Bagi minyak goreng murah dijual dengan 14,000 rupiah (RM4.10) seliter dan hanya dijual di beberapa tempat dan pembelian turut dihadkan.
Kerajaan Indonesia mula melaksanakan dasar satu harga untuk minyak masak bermula tengah malam 19 Januari lalu.
Menteri Perdagangan Indonesia, Muhammad Lutfi berkata, harga jualan minyak masak di negara itu ditetapkan pada 14,000 rupiah.
Katanya, harga tersebut terpakai untuk produk minyak masak yang dijual secara runcit di kedai-kedai moden atau untuk ahli Persatuan Pengusaha Peruncitan Indonesia.
Untuk minyak masak yang dijual di pasar raya, dasar satu harga akan dilaksanakan selewat-lewatnya minggu depan.
Presiden Indonesia Joko Widodo awal bulan ini menggesa Menteri Perdagangan Lutfi dan pegawai kementerian supaya cari jalan mengekalkan kestabilan harga minyak masak domestik berikutan kenaikan harga komoditi itu baru-baru ini dalam pasaran eksport.