LOS ANGELES: Seekor singa gunung dikenali sebagai P22 disifatkan ‘haiwan bertaraf selebriti’ dan menjadi tumpuan banyak pihak di bandar ini.
Spesies kucing besar itu yang tinggal di Griffith Park, taman seluas 1,618 hektar di bukit Hollywood, memberi inspirasi kepada pelbagai pihak untuk menghasilkan mural, lagu dan pameran mengenai kisah kehidupannya.
Lapor The Guardian, bulan Februari menandakan ulang tahun ke-10 sejak pasukan saintis menemukan P22 buat pertama kali ketika memasang perangkap kamera di kawasan tersebut.
Penemuan singa gunung itu dianggap sangat menakjubkan, malah para saintis berpandangan P22 melambangkan keunikan di Los Angeles.
“Sebuah bandar yang dikritik kerana isu kebakaran hutan, kini membuktikan kepada seluruh dunia mampu menjadi habitat untuk singa gunung,” kata Pengarah Persekutuan Hidupan Liar Kebangsaan untuk California, Beth Pratt.
Jelas Pratt, beliau turut menggelar P22 sebagai The Brad Pitt of mountain lions berikutan keunikan dan sifat dimiliki haiwan liar itu yang menarik.
“P22 mempunyai banyak rusa untuk dimakan, tiada pesaing singa gunung jantan lain di kawasannya dan juga pasangan,” katanya.
Dakwa Pratt, P22 mungkin dibawa keluar atau dibunuh sekiranya berada di tempat lain.
“Namun, di bandar Los Angeles, P22 menjadi amat terkenal,” katanya. – AGENSI