KATHMANDU: Satu laporan sulit kerajaan Nepal yang didedahkan kepada BBC mendakwa China cuba menceroboh Nepal melalui kawasan sempadan yang dikongsi oleh kedua-dua negara.
Laporan yang dikeluarkan pada September lalu itu merupakan yang pertama didedahkan oleh kerajaan Nepal mengenai ‘campur tangan China dalam wilayahnya’.
China didakwa menceroboh kawasan sempadan Nepal di daerah Humla di bahagian barat negara ini.
Namun, Kedutaan China di Nepal menafikan laporan tersebut.
Kawasan sempadan antara Nepal dan China dianggarkan sepanjang 1,400 kilometer di sepanjang pergunungan Himalaya.
Proses persempadanan itu dipersetujui oleh kedua-dua negara tersebut menerusi beberapa perjanjian yang dilakukan pada 1960-an.
Dalam pada itu, pihak berkuasa Nepal merancang untuk menghantar pasukan keselamatan ke Humla bagi memantau jika berlaku pencerobohan oleh China.
Beberapa sumber mendakwa China sudah membina beberapa bangunan di kawasan sempadan negara ini.
Selain itu, laporan berkenaan menyebut pihak berkuasa China mengehadkan kawasan padang ragut untuk ternakan peladang Nepal.
Di kawasan yang sama, China juga didapati membina struktur berpagar di sekitar tembok sempadan, selain cuba membangunkan saluran serta jalan di bahagiann sempadan Nepal.