WASHINGTON: Agensi Angkasa Lepas dan Aeronautik Kebangsaan (NASA) mendedahkan rancangan untuk menenggelamkan Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) di kawasan lautan paling terpencil yang juga dikenali sebagai ‘perkuburan kapal angkasa’.
Rancangan itu dijangka dilaksanakan pada Januari 2031 bermula dengan mengeluarkan pusat kemudahan seberat 465 tan itu daripada orbit secara berperingkat sebelum menenggelamkannya di selatan Lautan Pasifik yang dinamakan Point Nemo.
Kawasan itu disifatkan paling terpencil di muka bumi dan jauh daripada pusat penempatan manusia.
ISS yang dilancarkan pada 1998 direka untuk beroperasi selama 15 tahun dan bakal berkhidmat selama lebih 30 tahun apabila ia ditenggelamkan kelak.
Berdasarkan keadaan semasa, NASA memaklumkan, ISS mampu bertahan sehingga 2030.
Rancangan untuk ‘menamatkan riwayat ISS’ bermula selepas Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden bersetuju menyokong operasi stesen itu sehingga 2030 dan menjelang itu, satu stesen angkasa lepas baharu perlu dibangunkan.
“ISS sudah banyak berjasa kepada manusia dan industri angkasa lepas, selain membolehkan kita meneroka alam semesta dengan lebih jauh.
“Berdasarkan pemeriksaan keselamatan, NASA yakin bahawa ISS mampu bertahan sehingga 2030,” jelas agensi itu.
Ketika proses penamatan operasinya, sejumlah kapal angkasa tanpa penumpang akan dihantar ke ISS untuk membantunya ‘bergerak ke Bumi’.
Semasa memasuki atmosfera Bumi, sebahagian daripada struktur ISS akan terbakar sehingga jatuh ke lautan.