WASHINGTON: White House memberi amaran kepada rakyat negara ini bahawa kenaikan harga sumber bahan api bakal susulan peperangan Ukraine dan Rusia.
Timbalan Penasihat Keselamatan Kebangsaan AS bagi Ekonomi Antarabangsa, Daleep Singh berkata, beliau cuma berharap harga sumber bahan api itu akan turun dari semasa ke semasa.
“Terdapat beberapa tindakan yang boleh dilakukan (oleh negara pengguna) dengan strategi bekalan mereka dan ada langkah yang boleh diambil oleh pengeluar untuk memastikan bekalan sentiasa ada.
“Saya tidak akan memberikan anda garis masa, namun secara kolektifnya, kesemua tindakan tersebut sepatutnya berkesan menurun harga gas dan minyak,” katanya kepada Fox.
Ketika ini, harga minyak dunia melonjak melepasi paras AS$100 (RM419) setong untuk kali pertama dalam tempoh tujuh tahun, selepas Presiden Rusia, Vladimir Putin mengumumkan operasi ketenteraan di Ukraine.
Harga minyak mentah Brent meningkat kepada AS$100,4 (RM421) setong selepas pengumuman tersebut yang secara tidak langsung mencetuskan kebimbangan kepada golongan pelabur.
Selain itu, rakyat Britain juga diingatkan supaya bersedia dengan peningkatan harga minyak yang boleh mencecah sehingga 1.70 pound (RM9.60) seliter dan ancaman serangan siber oleh Rusia kerana menyokong Ukraine.
Harga minyak dan gas di negara ini sudah pun meningkat semalam selepas Putin mengerahkan tentera ke timur Ukraine dan selepas Jerman menghentikan projek Nord Stream 2.
Biarpun Britain tidak bergantung kepada Rusia untuk mendapatkan bekalas gas, krisis antara negara itu dengan Ukraine tetap memberi kesan terhadap harga pasaran.
Perdana Menteri, Boris Johnson juga mengingatkan barisan Kabinetnya mengenai ‘akibat’ yang bakal dihadapi negara kerana menyokong Kyiv, termasuk ancaman serangan siber dari Rusia.
“Apa yang kita perlu fikirkan ketika ini apakah tindakan yang bakal dilakukan oleh Rusia selepas Britain menyokong Ukraine. Kita perlu bersedia dari sekarang untuk menghadapi apa jua ancaman,” tegasnya. – REUTERS