ROM: Satu mayat wanita yang reput ditemukan dalam keadaan duduk di sebuah meja di dapur rumahnya dan dipercayai sudah meninggal dunia sejak dua tahun lalu.
Polis Itali menemukan mayat Marinella Beretta, 70 tahun, yang tinggal berseorangan di rumahnya di Prestino, berhampiran Tasik Como di utara Itali.
Anggota polis pergi ke rumah itu selepas mendapat laporan daripada penduduk setempat mengenai keadaan sebatang pokok yang dikhuatiri boleh tumbang jika berlaku angin kencang.
Para jiran Beretta memaklumkan, mereka sudah lama tidak nampak wanita tersebut dan menyangka dia berpindah ke tempat lain.
Siasatan polis tidak menemukan sebarang unsur jenayah di rumah tersebut dan menyifatkan kematian wanita warga emas itu sebagai kematian mengejut.
Sementara itu, pihak berkuasa tempatan dijangka membiayai sepenuhnya urusan pengebumian Beretta.