LONDON: Seorang lelaki Britain yang kehilangan gigi palsunya yang dipercayai terjatuh ke dalam tong sampah di Sepanyol ditemukan semula dengan ‘objek’ itu 11 tahun kemudian.
Paul Bishop, 63, dari Stalybridge, England, meraikan sambutan hari jadi rakannya di Benidorm, Sepanyol pada 11 tahun lalu sehingga mabuk dan tidak sedar gigi palsunya tertanggal dan hilang.
“Saya sangat mabuk hingga termuntah di dalam tong sampah di bar tersebut.
“Saya tidak sedar gigi palsu saya hilang sehinggalah kami masuk ke sebuah lagi bar dan kami cuba mencarinya namun gagal menemukannya,” katanya kepada Manchester Evening News.
Pada minggu lalu, Bishop terkejut apabila menerima satu bungkusan berisi gigi palsu dari pihak berkuasa Sepanyol.
Dalam bungkusan itu, terdapat satu surat memaklumkan gigi palsu itu ditemukan dalam tong sampah dan pihak berkuasa melakukan ujian DNA bagi mengenal pasti identiti pemiliknya.
Bishop memberitahu, gigi palsu itu tidak lagi muat dalam mulutnya dan mahu mempamerkannya di sebuah kelab.