JAKARTA: Majlis Hakim Pengadilan Negeri Medan mengenakan hukuman penjara selama tiga tahun terhadap seorang lelaki yang didapati bersalah membeli durian menggunakan duit palsu.
Majlis hakim yang diketuai Martua Sagala berkata, tertuduh yang dikenali sebagai Rangga didapati bersalah mengedarkan duit palsu mengikut artikel Pasal 36 Ayat (3) Undang-Undang Nombor 7 Tahun 2011 mengenai mata wang.
Keputusan hakim itu juga selaras dengan tuntutan pendakwa raya yang menuntut lelaki itu dipenjara selama tiga tahun.
Menurut dokumen mahkamah, Rangga didakwa menggunakan duit palsu ketika membeli duiran pada 23 Ogos 2021 di medan Sunggal, Medan.
Polis dikerah ke lokasi kejadian selepas orang ramai menangkap Rangga selepas dia membuat pembelian menggunakan duit palsu.
Lelaki itu menggunakan sekeping duit kertas palsu bernilai 100,000 rupiah (RM29) dan tiga keping duit bernilai 10,000 rupiah (RM2.90).
Lapor CNN Indonesia, Rangga memberitahu kesemua duit palsu itu diberikan oleh seorang peniaga yang tidak dikenali.