WASHINGTON: Data dari Johns Hopkins University mendapati kematian akibat Covid-19 di Amerika Syarikat (AS) sudah mencecah 900,000 kes, susulan serangan varian Omicron yang mudah berjangkit.
Angka terbaharu itu tidak sampai dua bulan selepas AS merekodkan 800,000 kes kematian.
Secara purata berlaku kematian sebanyak 2,400 kes sehari sekali gus merekodkan tahap tertinggi sejak musim sejuk lalu.
AS mencatatkan angka kematian akibat virus Covid-19 tertinggi di dunia dan jumlah sebenar kematian secara tidak langsung dipercayai jauh lebih tinggi.
Pakar percaya beberapa kes kematian Covid-19 disalah ertikan kepada keadaan lain, manakala, segelintir rakyat AS beranggapan pesakit meninggal dunia akibat penyakit kronik seperti serangan jantung dan diabetes kerana mereka tidak mahu mendapatkan rawatan semasa krisis.
Pakar Kesihatan Awam dari Johns Hopkins, Prof. Joshua M Sharfstein berkata, kita memandang remeh terhadap musuh sebenar dan kurang bersedia untuk melindungi diri kita.
Bagi Dekan Fakulti Kesihatan Awam, Brown University, Dr. Ashish K Jha berkata, angka itu adalah sangat tinggi secara astronomi.
“Jika anda beritahu rakyat AS dua tahun lalu, ketika wabak semakin merebak mengenai 900,000 rakyat akan mati, saya fikir ramai tidak akan mempercayainya,” katanya.
Pakar kesihatan di negara itu melahirkan kekecewaan terhadap penggubal dasar yang sudah kehabisan idea bagi menggalakkan orang ramai divaksin kerana Covid-19 sudah menjadi salah satu daripada tiga penyebab utama kematian di AS, selain penyakit jantung dan kanser.
Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit AS merekodkan hanya 64 peratus atau bersamaan 212 juta penduduk yang sudah menerima suntikan vaksin sepenuhnya.-AP