LISBON: Sebuah kapal kargo mega yang dipenuhi dengan kenderaan keluaran Volkswagen, Porsche, Audi dan Lamborghini terpaksa ditinggalkan oleh kru di tengah Lautan Atlantik selepas ia terbakar.
Lapor Arab News, jurucakap tentera Portugal, Jose Sousa Luis berkata, kapal itu didaftarkan dengan nama Felicity Ace dan 22 krunya berjaya diselamatkan susulan kebakaran yang berlaku.
“Kapal lain di sekitar lokasi kejadian diberi amaran mengenai insiden yang berlaku.
“Kini, kapal sepanjang 200 meter itu hanyut berhampiran Pulau Azores selepas semua kru meninggalkan kapal berkenaan,” katanya.
Felicity Ace mampu membawa muatan kargo melebihi 17,000 metrik tan dan kebiasaannya digunakan untuk mengangkut ribuan kenderaan.
Pengendali kapal tersebut, Japan Mitsui O.S.K. Lines menerusi emel memaklumkan, mereka tidak dapat memberi butiran lanjut mengenai keadaan kapal tersebut.
Namun, Bloomberg yang memetik sumber Volkswagen di Amerika Syarikat (AS) melaporkan, kapal itu membawa sebanyak 3,965 kenderaan keluaran syarikat tersebut, selain Porsche, Audi dan Lamborghini.
Portal The Drive pula memaklumkan, Felicity Ace turut membawa 189 kenderaan keluaran Bentley yang dianggarkan bernilai AS$30 juta (RM126 juta).
Kumpulan Volkswagen dalam satu kenyataan memberitahu, kapal tersebut dalam perjalanan ke AS.
Dalam pada itu, tentera Portugal menyatakan kebakaran masih berlaku dan akan membuat pemantau sekiranya ia karam atau boleh menyebabkan pencemaran minyak.
Sumber ketenteraan juga memaklumkan, kemungkinan kapal itu tidak akan ditunda ke pelabuhan di pulau Azores kerana saiznya yang besar.
Kesemua kru kapal itu dibawa menaiki helikopter ke pulau Faia, 170 kilometer dari lokasi kejadian dan tiada antara mereka mengalami kecederaan. – AP