Jika Rusia tidak mahu perang, sila buktikan - AS

Jika Rusia tidak mahu perang, sila buktikan – AS

AKTIVIS pro-Ukraine berhimpun di depan bangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di New York.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) mencabar Rusia mengumumkan ‘tidak akan menyerang Ukraine’ bagi meredakan ketegangan yang kian memuncak di sempadan negara itu. 

Peringatan tegas itu disuarakan oleh Setiausaha Negara AS, Antony Blinken yang turut memberi amaran Rusia berada di ambang melancarkan serangan ketenteraan besar-besaran terhadap Ukraine. 

Kenyataan itu bagi menolak dakwaan Moscow untuk mengundurkan tentera di kawasan sempadan dan pada masa yang sama berlaku tembakan meriam mengenai sebuah tadika Ukraine. 

Jelasnya, hasil risikan menunjukkan Moscow boleh mengarahkan serangan ke atas negara jirannya dalam ‘hari-hari mendatang’.

“Tunjukkan bukti dengan menghantar tentera, kereta kebal dan kapal terbang anda kembali ke pangkalan semula,” katanya. 

Rusia berulang kali menafikan sebarang rancangan pencerobohan tetapi memberi amaran mengenai ‘langkah teknikal ketenteraan’ jika permintaan penarikan balik tentera AS dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dari Eropah Timur tidak dilunaskan. 

Khamis lalu, Blinken dan rakan sejawatan di Moscow, Sergei Lavrov bersetuju mengadakan pertemuan minggu depan, dengan syarat tiada pencerobohan berlaku.

 

OPERASI BENDERA PALSU

Presiden AS, Joe Biden terus memberikan tekanan dengan menuduh Moscow menyediakan ‘operasi bendera palsu’ sebagai alasan serangan. 

“Mereka tidak memindahkan mana-mana tentera keluar, tetapi memindahkan lebih banyak tentera masuk.

“Setiap petunjuk mendapati Rusia bersedia serang Ukraine,” katanya. 

Biden bagaimanapun menegaskan diplomasi belum menemukan jalan buntu dan masih ada cara meredakan ketegangan yang kian memuncak.

Biden mengadakan pertemuan menerusi panggilan telefon dengan pemimpin Jerman, Britain, Perancis, Kesatuan Eropah dan NATO bagi membincangkan krisis Ukraine, semalam.

 

CABAR-MENCABAR

Washington memaklumkan negara itu sudah menerima maklum balas dari Presiden Rusia, Vladimir Putin terhadap tawaran penyelesaian diplomatik krisis itu, tetapi tidak memberikan sebarang reaksi terhadap kandungannya.

Kementerian Luar Rusia menjelaskan terdapat beberapa perkara yang perlu dibincangkan. 

“Dengan ketiadaan kehendak pihak AS untuk merundingkan jaminan yang kukuh dan mengikat secara sah mengenai keselamatan kami dari AS dan sekutunya, Rusia akan dipaksa bertindak balas termasuk langkah teknikal ketenteraan.

“Kami desak penarikan semua angkatan tentera AS di Eropah Tengah, Eropah Timur dan Baltik,” tegasnya. 

Jabatan Negara AS memaklumkan, Rusia turut mengusir diplomat nombor dua AS di Moscow dan mengutuk tindakan tanpa provokasi tersebut. 

 

TEMBAKAN MERIAM

Rusia mengambil alih wilayah Crimea di Ukraine dan mula menyokong puak pemisah bersenjata lengkap di timur Donetsk dan wilayah Lugansk sejak 2014, sehingga mencetuskan perang yang mengorbankan ribuan nyawa. 

Pertempuran sporadis kekal di timur dan tentera Ukraine menuduh puak pemisah pro-Rusia melakukan 34 pelanggaran gencatan senjata Khamis lalu, dengan 28 daripadanya menggunakan senjata berat. 

Insiden yang berpotensi paling serius, adalah tembakan meriam di sebuah tadika di Kampung Stanytsia-Lugansk. 

Ketika tembakan dilepaskan, kanak-kanak berada di dalam premis tersebut, namun tiada yang menjadi mangsa peluru sesat.  

Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky menerusi ciapan Twitter mengutuk serangan oleh pasukan pro-Rusia sebagai provokasi besar.

Agensi berita Rusia memetik pihak berkuasa di wilayah Lugansk yang menyalahkan Kyiv selepas situasi di barisan hadapan ‘meningkat ketara’. 

Barat juga bimbang dengan permintaan Parlimen Rusia supaya Putin memberikan pengiktirafan unilateral kemerdekaan kepada pemisah di timur Ukraine. 

Setiausaha Luar Britain, Liz Truss berkata, jika permintaan itu dipenuhi, ia menunjukkan keputusan Rusia memilih jalan konfrontasi berbanding rundingan dialog.

Khamis lalu, Moscow mengumumkan unit kereta kebal telah kembali ke pangkalan dari sempadan Ukraine serta melakukan pengunduran tenera. 

Namun, AS tidak yakin dan percaya dengan pengumuman tersebut dan mendedahkan kira-kira 150,000 tentera Rusia sedang bersiap-siaga dalam kumpulan serangan di sempadan selatan, timur dan utara Ukraine.-AFP  

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya