TOKYO: Sebuah jet pejuang F-15 tentera Jepun yang hilang sejak semalam, dipercayai terhempas, kata Menteri Pertahanan, Nabuo Kishi.
Jet milik Pasukan Pertahanan Diri Udara Jepun dilaporkan hilang dari radar sejurus selepas berlepas dari Pangkalan Udara Komatsu di wilayah Ishikawa.
Semalam, media melaporkan salah seorang kru jet pejuang itu mungkin sudah ditemukan di Laut Jepun.
Bagaimanapun, Kishi memaklumkan dua kru pesawat itu masih hilang.
Berdasarkan sumber dari Kementerian Pertahanan, jet itu terputus hubungan radar kira-kira pukul 5.30 petang (waktu tempatan).
Jet F-15 yang membawa dua kru hilang ketika menjalankan misi latihan di Laut Jepun, kira-kira lima kilometer (km) barat-barat laut dari pangkalan berkenaan.
Jelas sumber, pasukan penyelamat akan meneruskan pencarian jet dan dua kru tersebut.
Sementara itu, jurucakap kerajaan, Hirokazu Matsuno memaklumkan sebahagian bangkai jet F-15 sudah ditemukan.
“Kami menemukan bahagian badan utama jet pejuang F-15 di kawasan tersebut.
“Jet pejuang itu dipercayai terhempas,” katanya. – REUTERS/XINHUA/AFP