RIYADH: Riyadh memutuskan jemaah luar yang tiba di negara itu untuk menunaikan umrah tidak perlu lagi mengemukakan bukti status vaksinasi Covid-19.
Individu yang ingin menunaikan ibadah tersebut tanpa mengira status vaksinasi mereka, hanya perlu mengemukakan bukti negatif bagi ujian tindak balas rantai polimerase transkripsi balikan (PCR) atau ujian pantas antigen.
Perkembangan terbaharu itu diumumkan oleh Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi dalam minggu ini, lapor Arab News.
Sampel bagi kedua-dua ujian tersebut perlu diambil dalam masa 48 jam dari tarikh pelepasan ke Arab Saudi.
Polisi tersebut mula berkuat kuasa pada pukul 1 pagi, Rabu lalu.
Minggu lalu, Arab Saudi turut mengumumkan warganegaranya yang ingin keluar dari negara itu diwajibkan menerima dos penggalak vaksin Covid-19.
Arahan itu termasuk mereka yang berada di negara itu selama tiga bulan selepas tarikh menerima dos kedua.