BAITULMUQADDIS: Masyarakat antarabangsa mesti menguatkuasakan sekatan terhadap Israel atas jenayah apartheid, selain sekatan pembekalan senjata terhadap ‘negara haram’ itu.
Perkara itu ditegaskan pertubuhan berhaluan kiri, Amnesty International dalam laporan baharu setebal 211 muka surat yang dikeluarkan mengenai perkara itu, dan dipetik The Jerusalem Post.
“Kami mendapati bahawa dasar kejam dilakukan rejim Zionis merentasi semua wilayah yang dijajahnya jelas menyamai apartheid. Masyarakat antarabangsa wajib bertindak,” jelas Setiausaha Agung Amnesty, Agnes Callamard.
Penerbitan laporan itu adalan permulaan kempen oleh pertubuhan tersebut dan 10 juta anggotanya menekan Israel menghentikan amalan aprtheid.
“Hari ini kami melancarkan kempen memperkukuhkan kepentingan masyarakat antarabangsa untuk keadilan, menuntut pemimpin dunia mengambil tindakan berasaskan hak asasi manusia menamatkan kekejaman Israel yang menindas penduduk Palestin tanpa rasa takut.
“Negara yang terus membekalkan senjata kepada Israel dan melindunginya, juga menyokong dasar apartheid yang memburukkan lagi penderitaan rakyat Palestin,” tegas Callamard.