MIAMI: Sekurang-kurangnya dua orang cedera dan dimasukkan ke hospital selepas helikopter yang mereka naik terhempas ke dalam laut di luar pantai Florida, semalam.
Polis Miami menerusi Twitter memaklumkan, mereka menerima panggilan mengenai nahas itu pada pukul 1.10 petang waktu tempatan.
“Polis dan jabatan bomba bergegas ke lokasi kejadian bagi menghulurkan bantuan segera,” menurut ciapan tersebut.
Pentadbiran Penerbangan Persekutuan Amerika Syarikat (FAA) turut memberi tindak balas berhubung insiden itu.
“Terdapat tiga penumpang di dalam helikopter dengan dua daripadanya sudah dibawa ke hospital dan keadaan merelka dilaporkan stabil,” kata polis.
Video yang dikongsi dalam media sosial menunjukkan helikopter berkenaan seperti hilang kawalan sebelum terhempas ke dalam laut.
Insiden itu disaksikan orang ramai yang berenang dan berjemur di pantai berkenaan.
Bekas inspektor di Jabatan Pengangkutan AS, Mary Schiavo berkata, video tersebut menunjukkan helikopter berkenaan mungkin mengalami kegagalan enjin sebelum terhempas.
Katanya, juruterbang dapat mengelak helikopter itu daripada terhempas atas orang ramai yang berenang di pantai tersebut.
“Tidak dapat dibayangkan sekiranya helikopter itu jatuh atas orang ramai, mungkin kematian besar-besaran boleh berlaku.
“Berdasarkan video yang dikongsi, jelas menunjukkan juruterbang cuba mengawal sebaik mungkin helikopter tersebut, namun disebabkan kegagalan enjin, tiada pilihan untuknya selain ‘membenarkan helikopter itu terhempas’,” katanya.
Sementara itu, pihak berkuasa akan melakukan siasatan segera bagi mengenal pasti punca nahas. – AFP