TOKYO: Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida mengenakan sekatan terhadap Rusia berhubung tindakan terbaharu terhadap Ukraine.
Katanya, tindakan Moscow mengiktiraf kemerdekaan di dua wilayah didiami puak pemisah pro-Rusia adalah jelas mencabul kedaulatan Ukraine dan undang-undang antarabangsa.
Jelasnya, sekatan yang dikenakan termasuk melarang pengeluaran bon Rusia di Jepun dan membekukan aset individu tertentu dari Rusia serta menyekat perjalanan ke Jepun.
“Tindakan Rusia adalah jelas mencabul kedaulatan Ukraine dan membelakangkan undang-undang antarabangsa.
“Kami sekali lagi mengutuk langkah tersebut dan menggesa Rusia kembali ke rundingan diplomatik.
“Situasi semasa sangat tegang dan kami akan memantau secara dekat,” katanya.
Menurut Kishida, maklumat terperinci mengenai sekatan itu akan diumumkan beberapa hari lagi.
Beliau malah yakin Jepun mempunyai simpanan minyak dan gas asli cecair mencukupi, sekali gus tidak mendatangkan sebarang kesan terhadap bekalan tenaga dalam tempoh masa pendek.
Sekiranya harga minyak terus meningkat, beliau akan mempertimbangkan langkah mengehadkan kesan kepada syarikat dan isi rumah.
“Jepun akan terus berhubung rapat dengan negara G7 serta masyarakat antarabangsa.
“Sekiranya keadaan bertambah buruk, kami akan bertindak segera dengan mengambil tindakan selanjutnya,” jelasnya.
Pasaran Jepun ditutup hari ini sempena cuti Hari Kebangsaan.-REUTERS