THE HAGUE: Belanda mengumumkan akan menarik semula semua sekatan Covid-19 sekali gus menjadi negara Eropah terkini yang berusaha menjalani kehidupan normal kembali ketika jangkitan Omicron semakin mengganas.
Bermula 25 Februari depan, semua bar, restoran dan kelab malam akan kembali beroperasi seperti waktu sebelum pandemik dan pas kesihatan tidak diperlukan lagi.
Menteri Kesihatan Belanda, Ernst Kuipers turut memaklumkan penjarakan fizikal dan pemakaian pelitup muka tidak lagi menjadi kewajipan di kebanyakan tempat.
Katanya, tempoh kuarantin bagi individu yang dijangkiti virus itu turut dipendekkan kepada lima hari.
“Negara ini akan dibuka semula. Kita boleh bersikap optimis, namun perlu menjadi realistik kerana pandemik belum berakhir,” katanya.
Disember lalu, Belanda melaksanakan beberapa sekatan ketat bagi mengekang penularan Omicron.
Negara itu mengikut jejak langkah Denmark dan Norway yang membatalkan semua sekatan Covid-19.
Belanda yang dihuni seramai 17 juta penduduk merekodkan lonjakan kes Covid-19 sebanyak 482,695 minggu lalu.
Namun, angka itu didapati menurun sebanyak 22 peratus minggu sama.
Terdahulu, England menjadi negara pertama di dunia yang menarik semula semua sekatan Covid-19 selepas yakin program vaksinasi yang dijalankan mampu mengekang penularan jangkitan.
Langkah itu kemudiannya diikuti oleh beberapa negara lain termasuk Sweden dan Sepanyol.
Langkah tersebut diambil sebagai persediaan untuk masyarakat belajar hidup dengan Covid-19 kerana virus maut itu bakal menjadi endemik. –AFP