GUATEMALA CITY: Gempa bumi berukuran 6.2 skala Richter yang melanda barat Guatemala awal pagi semalam menyebabkan banyak kerosakan infrastruktur.
Gempa itu menyebabkan hampir 25,000 penduduk terjejas dan sekurang-kurangnya tiga orang meninggal dunia akibat serangan jantung.
Gempa itu berlaku pada kedalaman 84 kilometer dan berpusat di daerah Escuintla, kurang dari 100 kilometer ke barat daya Guatemala City.
Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) memaklumkan gempa itu berukuran 6.2 Richter, namun pihak berkuasa Guatemala mengukurnya pada kekuatan 6.8 dan diikuti dengan gempa susulan sekuat 4.8.
Gempa itu menyebabkan beberapa insiden tanah runtuh, jalan retak, sejumlah kediaman rosak sehingga menyebabkan bekalan elektrik terputus dan menjejaskan 31,300 isi rumah.
Pihak berkuasa negara ini memaklumkan, tiga wanita maut akibat serangan jantung, berkemungkinan terkejut dengan gempa yang berlaku.
Seorang wanita berusia 50 tahun, meninggal dunia di perkampungan Mixco di barat Guatemala City, manakala dua lagi maut di utara baja Verapaz dan bandar Quetzaltenango.
Gegaran gempa itu boleh dirasa sejauh El Salvador sehingga ke tenggara Guatemala dan selatan Mexico.
Pasukan bomba turut melaporkan insiden tanah runtuh dan struktur jalan raya dari Guatemala City sehingga ke Antigua yang merupakan kawasan tumpuan pelancong.
Pada tahun lalu, lebih 125 gempa bumi direkodkan di Guatemala tanpa melibatkan kematian atau kerosakan yang besar. – AFP