PRETORIA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) percaya fasa akut pandemik Covid-19 boleh berakhir pada tahun ini.
Lapor Al-Jazeera, Ketua Pengarahnya, Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata, perkara itu mampu dicapai jika kira-kira 70 peratus penduduk dunia lengkap divaksin.
“Jangkaan kami adalah fasa akut pandemik ini akan berakhir tahun ini, dengan syarat 70 peratus vaksinasi (sasaran tercapai) pada pertengahan tahun sekitar Jun atau Julai ini.
“Jika perkara itu dapat dilakukan maka fasa akut benar-benar boleh berakhir. Ini yang kami harapkan, ia semua di tangan kita. Ia bukan mengenai peluang tetapi soal pilihan,” katanya dalam sidang akhbar di Afrika Selatan.
Ghebreyesus berkata demikian dalam lawatan ke syarikat bioteknologi, Afrigen Biologics & Vaccines, yang berjaya menghasilkan vaksin Covid-19 mRNA pertama di Afrika dengan menggunakan jujukan Moderna.
Komen itu dibuat sehari selepas Pengarah WHO bagi Afrika, Matshidiso Moeti berkata, benua itu sedang beralih keluar daripada fasa pandemik Covid-19.
Dengan pandangan lebih optimistik, Moeti berkata, Afrika sedang bergerak ke arah situasi yang mana negara itu mampu menguruskan virus tersebut dalam jangka masa panjang.
Setakat ini, hanya 11 peratus penduduk Afrika sudah divaksin sekaligus menunjukkan kadar paling rendah di seluruh dunia.
Minggu lalu, pejabat Afrika WHO memaklumkan, benua itu harus meningkatkan kadar vaksinasi sebanyak `enam kali ganda’ untuk mencapai sasaran 70 peratus.
Sementara itu, vaksin Covid-19 mRNA akan tersedia untuk ujian klinikal pada November, dengan kelulusan dijangka pada tahun 2024.
“Kami menjangkakan vaksin ini lebih sesuai dengan konteks di mana ia akan digunakan, dengan kekangan penyimpanan berkurangan dan pada harga lebih rendah,” kata Ghebreyesus.
Afrigen mengetuai projek perintis, yang disokong oleh WHO dan inisiatif COVAX. – AGENSI