Eropah berdepan detik paling getir sejak Perang Dingin - Utusan Malaysia

Eropah berdepan detik paling getir sejak Perang Dingin

ASKAR pengawal sempadan ditempatkan di sepanjang sempadan dengan Rusia, kira-kira 40 kilometer dari bandar Kharkiv di Ukraine. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Eropah sedang melalui detik paling bahaya sejak Perang Dingin, ketika krisis Ukraine dan Rusia terus memuncak. 

Perkara itu disuarakan oleh Ketua Dasar Luar Kesatuan Eropah (EU), Joseph Borell.

“Berdasarkan pemahaman saya, kita sedang melalui detik keselamatan paling bahaya di Eropah selepas tamatnya Perang Dunia,” katanya dalam sidang akhbar.

Komen itu dibuat ketika Presiden Perancis, Emmanuel Macron menyatakan hasratnya mengelakkan peperangan dan membina kepercayaan, kepada rakan sejawatnya dari Rusia, Vladimir Putin dalam satu lawatan ke Moscow.

Lawatan itu menjadikan Macron sebagai pemimpin tertinggi Barat pertama yang melawat Moscow sejak Rusia mula mengerahkan tentera di sempadan dengan Ukraine.

Macron meletakkan dirinya sebagai pengantara berpotensi di Ukraine dengan Perancis menyuarakan keraguan terhadap dakwaan Amerika Syarikat (AS) dan negara lain kononnya serangan Rusia akan berlaku.

Dalam pertemuan dengan Putin, Presiden Perancis itu memberitahu sedang mencari penyelesaian terbaik yang boleh mengelakkan peperangan serta membina kepercayaan dan kestabilan.

Putin pula memaklumkan Rusia dan Perancis berkongsi kebimbangan sama mengenai situasi keselamatan di Eropah.

“Saya melihat banyak usaha dilakukan oleh kepimpinan semasa Perancis dan presidennya secara peribadi untuk menyelesaikan krisis berkaitan menyediakan keselamatan sama rata di Eropah,” katanya.

Sehari sebelum lawatannya ke Moscow, Macron mendakwa objektif geopolitik semasa Rusia sememangnya bukan Ukraine namun untuk menjelaskan peraturan dengan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan EU.

Bagaimanapun, selepas tiba di Rusia, Macron memaklumkan kepada wartawan beliau amat optimistik namun tidak percaya pada keajaiban secara spontan.

Wartawan Al Jazeera, Dorsa Jabbari melaporkan Putin dilihat ‘berpegang teguh dengan ideanya’ biarpun selepas mengadakan pertemuan dengan Macron.

“Putin tetap kekal dengan kata-katanya. Beliau memaklumkan jika Ukraine menyertai NATO dan sekiranya negara itu cuba merampas semula Crimea maka peperangan akan berlaku,” ujarnya.

Sebelum ini, jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov menyatakan keadaan terlalu rumit untuk mengharapkan kejayaan dalam satu pertemuan.

 

JAMINAN KESELAMATAN UNTUK RUSIA

Sementara itu, Washington menolak tuntutan tersebut namun memaklumkan pihaknya bersedia mengadakan perbincangan mengenai kawalan senjata dan usaha membina keyakinan.

AS dan sekutunya menolak mempertahankan Ukraine dengan menggunakan ketenteraan.

Namun, mereka menegaskan akan bertindak balas terhadap sebarang pencerobohan dengan mengenakan sekatan, penghantaran senjata dan pengukuhan negara-negara NATO yang berdekatan. 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya