WASHINGTON: Hartawan terkemuka, Elon Musk berikrar syarikatnya, SpaceX akan menyelamatkan Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) sekiranya Rusia cuba memusnahkannya ketika berperang dengan Ukraine.
Lapor Daily Star, Rusia mengancam untuk menjatuhkan ISS ke arah negara-negara yang melaksanakan sekatan ekonomi terhadap Moscow disebabkan pencerobohan ke atas Ukraine.
Terdahulu, ketua agensi angkasa lepas Rusia (Roscosmos), Dimitry Rogozin mengeluarkan ancaman itu dalam media sosial sebagai tindak balas terhadap pelbagai sekatan diumumkan Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden yang dikatakan akan ‘menjejaskan industri aeroangkasa’ negara itu.
Rogozin menerusi kenyataan bertanya sama ada AS ‘mahu memusnahkan kerjasamanya di ISS’.
“Sekiranya anda menyekat kerjasama dengan kami, siapa yang akan menyelamatkan ISS daripada keluar dari orbit dalam keadaan di luar kawalan dan jatuh ke atas AS atau Eropah? Soalnya.
Bagaimanapun, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif SpaceX itu membalas siri ciapan Rogozin dengan memuat naik logo syarikatnya.
Ketika ditanya pengguna media sosial sama ada SpaceX akan menyelamatkan ISS daripada musnah, Musk mengesahkan syarikatnya akan berbuat demikian.
Sementara itu, Musk membalas ciapan lain yang memaparkan keadaan ISS tanpa penglibatan Segmen Rusia dan kapal angkasa, Dragon berlabuh untuk menyediakan keupayaan bangkit semula.
Rusia berdepan kecaman antarabangsa kerana tindakan ketenteraannya di Ukraine.
Malah, keputusan China memilih untuk berkecuali dalam undian resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang mengecam pencerobohan Rusia, menunjukkan Moscow semakin terpinggir.
Rogozin menerusi siri ciapan tersebut turut menyenaraikan India, China, AS dan Eropah sebagai ‘destinasi pilihan’ untuk menjatuhkan stesen seberat 500,000 kilogram itu.