WASHINGTON: Duta Besar Amerika Syarikat bagi Kebebasan Beragama Antarabangsa, Rashad Hussain melahirkan kebimbangan mengenai kontroversi larangan pemakaian tudung di sekolah dan kolej di selatan India, Karnataka.
Lapor Al-Jazeera, Rashid memuat naik hantaran dalam Twitter Jumaat lalu yang menegaskan larangan bertudung hanya mendatangkan stigma serta meminggirkan wanita dan kanak-kanak perempuan.
“Kebebasan beragama adalah termasuk hak seseorang untuk memilih pakaian agama masing-masing.
“Negeri Karnataka di India tidak sepatutnya memberikan kebenaran pakaian agama tertentu. Larangan hijab di sekolah adalah jelas mencabul kebebasan beragama dan mendatangkan stigma terhadap golongan wanita,” katanya.
Minggu lalu, kumpulan sayap kanan Hindu berhimpun dan menghalang pelajar beragama Islam yang bertudung memasuki institusi pendidikan sehingga mencetuskan ketegangan antara kaum.
Sabtu lalu, Kementerian Luar India memberi respons terhadap ciapan tersebut dan menganggapnya sebagai cubaan mencampuri urusan dalaman negara itu kerana kes tersebut masih di peringkat kehakiman.
“Rangka kerja dan mekanisme Perlembagaan serta etos dan politik demokrasi kita adalah konteks dengan sesuatu isu dipertimbangkan dan diselesaikan.
“Komen bermotivasi mengenai isu dalaman kami adalah tidak dialu-alukan,” kata jurucakap kementerian itu, Arindam Bagchi.
Mahkamah Tinggi Karnataka Khamis lalu, menangguhkan keputusan terhadap petisyen yang difailkan oleh sekumpulan pelajar wanita mengenai larangan berhijab.
Panel tiga hakim akan mendengar kes tersebut semula hari ini bagi menentukan sekiranya sekolah dan kolej boleh memberi arahan kepada pelajar supaya tidak memakai hijab di dalam kelas.