UNIVERSITY of California bersetuju membayar pampasan sebanyak AS$250 juta (RM1 bilion) kepada 200 wanita yang didakwa diserang secara seksual oleh pakar ginekologi di kampus tersebut.
Lapor BBC, beberapa mangsa mendakwa pihak Universiti Los Angeles (UCLA) sengaja menyembunyikan dakwaan serangan seksual yang dilakukan oleh James Heap.
Lelaki itu berkhidmat di pusat kesihatan pelajar UCLA sepanjang 35 tahun kariernya dengan universiti tersebut dari 1983 hingga 2018.
Ratusan mangsa wanita dengan beberapa daripadanya mempunyai kanser mengaku menjadi mangsa kerakusan nafsu seks doktor tersebut.
Difahamkan, pihak universiti tidak menjalankan sebarang siasatan terhadap dakwaan salah laku Heap sehingga 2017.
Pihak universiti berdepan ratusan kes mahkamah kerana dikatakan sengaja menyembunyikan dakwaan kes salah laku seksual terhadap mangsa.
Susulan itu, lesen tauliah perubatan doktor itu digantung oleh hakim pada 2019 bagi tempoh tertentu.
Pihak universiti berharap pampasan kewangan akan memberikan ‘kelegaan dan pengakhiran’ terhadap semua wanita yang menjadi mangsa.
Heap berdepan 21 pertuduhan jenayah seksual terhadap tujuh wanita dan membuat pengakuan tidak bersalah.
HELAH TERBONGKAR
Penyelesaian tersebut bagaimanapun tidak menghalang tuntutan mahkamah yang difailkan lebih 300 pesakit lelaki itu.
Julai lalu, Hakim Mahkamah Persekutuan meluluskan penyelesaian berjumlah AS$73 juta (RM292 juta) terhadap Heap yang dituntut lebih 5,500 wanita.
Menurut peguam yang mengendalikan kes tersebut, suspek merupakan doktor yang dibayar paling mahal di seluruh sistem University of California.
John C Manley yang mewakili salah seorang mangsa memfailkan dakwaan jenayah terhadap Heaps kerana suspek merupakan seorang pemangsa moden yang melakukan penderaan seksual dengan berselindung modus operandi semasa pemeriksaan perubatan biasa.
“Dia adalah seorang pakar sakit puan yang mempunyai perakuan lembaga dan pakar onkologi.
“Kebanyakan wanita yang berada di sana kerana mereka menghidap kanser atau menyangka mereka menghidap kanser itu,” katanya.
LUAHAN MANGSA
Seorang pejuang kanser payudara, Kara Cagle berkata, suspek menyerangnya ketika mendapatkan rawatan di universiti tersebut.
“Hari ini selepas lebih tempoh lapan tahun, saya menerima keadilan terhadap apa yang berlaku.
“Walaupun hati saya sedikit terubat, namun, hati saya hancur bagi semua wanita yang menderita selepas saya kerana UCLA enggan bertindak,” luahnya.