GENEVA: Mesyuarat Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sedikit tegang apabila wakil delegasi Amerika Syarikat (AS) dan Rusia bertikam lidah antara satu sama lain.
Lapor BBC, mesyuarat yang dipengerusikan AS itu bertujuan membincangkan penempatan tentera Rusia di sempadan Ukraine yang mencetuskan ketegangan global.
Duta AS, Linda Thomas-Greenfield berkata, kerahan tentera tersebut merupakan paling terbesar pernah dilakukan oleh negara Eropah sejak berdekad lalu.
Delegasi Rusia pula menuduh AS sengaja mencetuskan histeria dan campur tangan yang tidak boleh diterima dalam hal ehwal Rusia.
AS dan UK berulang kali menyatakan komitmen akan mengenakan pelbagai sekatan sekiranya Rusia menyerang dan menceroboh Ukraine.
Menteri Luar UK, Liz Truss berkata, negara itu sedang mempersiapkan undang-undang yang akan menyasarkan lebih ramai individu dan entiti perniagaan yang mempunyai hubungan dengan Kremlin.
Seorang pegawai AS menjelaskan sekatan yang akan dilaksanakan Washington bermakna individu yang mempunyai hubungan rapat dengan Kremlin akan diputuskan daripada sistem kewangan antarabangsa.
Difahamkan, Rusia menempatkan kira-kira 100,000 tentera, kereta kebal dan peluru berpandu di sempadan Ukraine.