NEW YORK: Jumlah kumulatif kes positif Covid-19 di peringkat global dilaporkan kini melepasi 400 juta.
Angka itu berdasarkan perhitungan dilakukan Reuters ketika varian Omicron yang mudah dijangkiti dan lebih cepat menular, mendominasi pandemik sekali gus menjejaskan sistem kesihatan di beberapa negara.
Varian Omicron yang mendominasi lonjakan jangkitan Covid-19 di seluruh dunia, dilaporkan menyumbang sebahagian besar kes baharu setiap hari.
Berdasarkan analisis Reuters, secara purata lebih dua juta kes jangkitan Covid-19 masih dilaporkan setiap hari meskipun jumlahnya mula kekal statik di kebanyakan negara.
Kematian akibat Covid-19 pula meningkat sebanyak 70 peratus dalam tempoh lima minggu lalu, berdasarkan purata kes harian tujuh hari.
Walaupun bukti awal dari beberapa negara menunjukkan kesan jangkitan Omicron lebih ringan berbanding varian sebelum ini, namun, sejumlah besar kes varian itu masih boleh memberi tekanan terhadap sistem penjagaan kesihatan di seluruh dunia.
Berdasarkan perhitungan Reuters, peningkatan 400 juta kes jangkitan Covid-19 daripada jumlah 300 juta, dicapai dalam masa lebih sebulan.
“Ia jauh berbeza berbanding tempoh lima bulan diambil untuk mencecah 300 juta kes Covid-19 berbanding 200 juta kes sebelum ini,” jelas laporan itu.
Kira-kira enam juta orang meninggal dunia akibat Covid-19 di seluruh dunia.