HONG KONG: Pihak berkuasa memaklumkan menemukan virus Covid-19 dalam sampel bungkusan barangan import daging sejuk beku dari Brazil dan kulit babi dari Poland.
Susulan penemuan itu, pihak berkuasa negara itu menegaskan akan mengetatkan pemeriksaan makanan import, lapor Reuters.
Pusat Keselamatan Makanan (CFS) mengambil 36 sampel untuk ujian percubaan daripada 1,100 karton daging sejuk beku dengan berat keseluruhan adalah 29 tan yang diimport dari Brazil menerusia laluan laut.
Pihaknya mengesahkan penemuan virus itu di luar sebuah bungkusan dan dalam dua bungkusan daging itu.
Jelasnya, sebanyak 12 sampel turut diambil dari 300 karton kulit babi sejuk beku dengan berat tujuh tan yang diimport dari Poland menerusi laluan laut.
Pihaknya mendapati isi kandungan sebuah bungkusan positif Covid-19.
Susulan itu, CFS mengarahkan pengimport tersebut melupuskan daging lembu dan kulit babi dalam kelompok sama.
“CFS juga akan meningkatkan persampelan produk serupa untuk ujian,” katanya dalam kenyataan.
Hong Kong memantau import makanan sejuk beku sejak pertengahan 2020 bagi mengelakkan penularan Covid-19.
Pada Ogos tahun lalu, kerajaan negara itu mendapati virus positif pada pembungkusan ikan bawal, manakala, pembungkusan sotong ditemukan November tahun sama.
Sementara itu, kes jangkitan harian Covid-19 menyaksikan peningkatan mendadak tahun ini, sehingga mencecah rekod 7,533 kes, semalam.
Angka itu sekali gus mendatangkan risiko terhadap usaha kerajaan, fasiliti hospital dan kapasiti pusat kuarantin.-REUTERS