HONG KONG: Ketika Barat menyelar Rusia, China pula dilihat seolah-olah mahu berpihak kepada Moscow menerusi dasar luar negara yang diamalkan untuk mempertahankan kedaulatan negara.
Situasi itu dapat dilihat apabila Duta Khas China ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Zhang Jun menggesa ‘semua pihak’ mengelakkan diri daripada ‘menimbulkan ketegangan’ di Ukraine. Dia juga meminta semua pihak berhenti mengecam pengiktirafan kemerdekaan Kremlin di dua wilayah yang dihuni puak pemisah pro-Rusia.
Lapor CNN, Jun menerusi kenyataan ringkas semasa mesyuarat tergempar Majlis Keselamatan PBB Isnin lalu. Memaklumkan, Beijing mengalu-alukan serta menggalakkan setiap usaha yang dicapai menerusi penyelesaian diplomatik.
Tegasnya, semua kebimbangan perlu ditangani berdasarkan ‘asas kesaksamaan’.
“Situasi semasa di Ukraine adalah kesan akibat daripada banyak faktor yang rumit.
“China sentiasa membuat pendirian mengikut merit perkara itu sendiri. Kami percaya semua negara perlu menyelesaikan pertikaian antarabangsa dengan cara aman selaras tujuan dan prinsip Piagam PBB,” katanya.
Mesyuarat Majlis Keselamatan itu diadakan ketika pemimpin dunia bermati-matian cuba meredakan ketegangan di Ukraine.
Presiden Rusia, Vladimir Putin lebih pantas bertindak apabila mengarahkan tentera Moscow memasuki dua wilayah di timur negara itu selepas memberi pengiktirafan kebebasan kepada mereka.
Dua wilayah itu ialah Republik Rakyat Donetsk (DPR) dan Republik Rakyat Luhansk (LPR).
TAKTIK CHINA
Di sebalik ketegangan yang semakin memuncak, Rusia dilihat semakin akrab dengan China, apabila Putin mengunjungi Beijing bagi mengadakan pertemuan dengan Pemimpin China, Xi Jinping sempena Sukan Olimpik Musim Sejuk, 4 Februari lalu.
Sidang kemuncak itu berakhir dengan kenyataan rasmi yang mengisytiharkan hubungan kedua-dua negara ‘tiada batas’ serta ‘tiada bidang kerjasama yang terlarang’.
Prof. Madya Alfred Wu dari Fakulti Polis Awam Lee Kuan Yew, Universiti Kebangsaan Singapura berpandangan Beijing cuba mengelakkan diri daripada menerima sekatan Barat dengan ‘berhati-hati untuk tidak mempunyai imej secara terbuka menyokong Rusia’.
“Beijing tidak mahu terlibat dan membuat kenyataan yang sangat tegas. Menerusi cara itu, AS dan Rusia tidak akan marah terhadap negara itu,” jelasnya.