RABAT: Pengguna media sosial di seluruh dunia memuji usaha dan tindakan pasukan keselamatan Maghribi yang bertungkus-lumus menyelamatkan Rayan Oram yang terjatuh ke dalam perigi sedalam 32 meter.
Kebanyakan pengguna media sosial meminta pasukan keselamatan supaya tidak menyalahkan diri mereka atas insiden yang berlaku selepas kanak-kanak berusia lima tahun itu meninggal dunia sebelum berjaya dikeluarkan.
“Anda semua adalah hero Maghribi, tiada apa yang perlu dikesalkan kerana semua usaha sudah dilakukan, hanya Tuhan lebih menyayangi Rayan,” menurut seorang pengguna media sosial.
Selepas operasi lebih 96 jam, kanak-kanak lelaki itu disahkan meninggal dunia selepas terjatuh ke dalam perigi tersebut sejak Selasa lalu.
Dalam pada itu, bapa Rayan mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu menyelamatkan anaknya.
“Terima kasih untuk semua usaha anda. Rayan kini bermain di taman syurga, semuanya sudah ditentukan Allah SWT,” ujarnya.
Menerusi video dan gambar yang dikongsi dalam media sosial, mayat kanak-kanak itu dilihat dibungkus dengan selimut kecemasan selepas dibawa keluar dari lubang berkenaan.
Terdahulu, pasukan keselamatan memasuki lubang tersebut bagi memberikan rawatan kecemasan kepada Rayan selepas kanak-kanak itu.
Pasukan keselamatan sebelum ini turut memberi amaran bahawa peluang untuk menemukan Rayan dalam keadaan masih hidup adalah tipis memandangkan kanak-kanak itu sudah terperangkap dalam lubang yang sempit dan sejuk sejak Selasa lalu.
Dalam pada itu, berita kematian Rayan diratapi banyak pihak di seluruh dunia dengan kebanyakan pengguna media sosial mendoakan semoga roh kanak-kanak itu ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman.
Sementara itu, pasukan keselamatan mula menutup dan membersihkan kawasan di lokasi kejadian bagi mengelakkan sebarang insiden tidak diingini berlaku.
Pihak berkuasa memaklumkan terdapat risiko tanah runtuh di kawasan tersebut berikutan struktur tanah yang tidak stabil selepas operasi penggalian dilakukan secara besar-besaran. – AFP