LONDON: Satu kajian mendedahkan pasangan pengantin yang mengadakan majlis kahwin besar-besaran dengan membelanjakan puluhan ribu pound berkemungkinan besar akan bercerai.
Lapor Daily Mail, pasukan penyelidik mendapati kira-kira 10 peratus perkahwinan yang menelan kos perbelanjaan melebihi 20,000 pound (RM113,590), berakhir dalam tempoh tiga tahun.
Angka itu adalah dua kali ganda daripada kadar keseluruhan perceraian sebanyak lima peratus yang dilaporkan pada masa itu.
Pasukan penyelidik juga mendapati 34 peratus pasangan pengantin yang mempunyai kurang daripada 10 tetamu pada majlis kahwin mereka, bercerai dalam tempoh sedekad.
Angka itu hampir dua kali ganda berbanding kadar keseluruhan perceraian.
Hasil kajian itu diperoleh menerusi tinjauan dilakukan oleh badan pemikir, Marriage Foundation terhadap 2,000 orang di Britain.
“Data itu mengulangi penyelidikan terdahulu dari AS yang mencadangkan kos perkahwinan yang mahal boleh mendatangkan kesan buruk kerana risiko hutang,” kata pengarah penyelidik, Harry Benson.
Jelasnya, tetamu yang ramai adalah baik untuk perkahwinan kerana pasangan menunjukkan komited kepada satu individu dan menolak pilihan lain.
“Secara keseluruhan, penemuan ini menyampaikan mesej jelas bahawa kos majlis perkahwinan tidak perlu terlalu mahal.
“Pasangan perlu meraikan hari istimewa mereka dengan seramai mungkin ahli keluarga dan rakan-rakan,” katanya.