LONDON: Britain bakal menjadi negara pertama di dunia menghapuskan semua sekatan dilaksanakan untuk membendung penularan Covid-19.
Lapor Daily Mail, Perdana Menteri, Boris Johnson mengumumkan hasrat untuk menamatkan semua sekatan termasuk arahan pengasingan kendiri di England menjelang akhir bulan ini.
Langkah itu secara tidak langsung memberi tekanan kepada Menteri Pertama Scotland, Nicola Sturgeon and Menteri Pertama Wales, Mark Drakeford untuk menghapuskan baki sekatan Covid-19.
Ketika ini, peraturan pengasingan kendiri akan berakhir pada 24 Mac depan.
Johnson dalam sesi pertanyaan Perdana Menteri pada sidang Parlimen memaklumkan, beliau percaya Britain dapat menamatkan sekatan Covid-19 terakhir itu sebulan lebih awal, selagi data semasa menunjukkan trend menggalakkan yang berterusan.
Tambah Johnson, beliau juga akan membentangkan pelan `strategi hidup bersama Covid-19’ pada sidang Parlimen yang bakal disambung semula, 21 Februari ini.
Sementara itu, seorang jurucakap kerajaan Scotland menegaskan kerajaan Britain gagal memberi pemakluman sewajarnya kepada negara terlibat untuk mempertimbangkan implikasi sebelum pengumuman tersebut dilakukan.
Katanya, menteri di negaranya juga sedang berusaha mendapatkan penjelasan dari kerajaan United Kingdom (UK) sekiranya wujud sebarang implikasi terhadap Scotland.
“Pengasingan kendiri dan pemakaian pelitup muka antara langkah pencegahan yang amat berkesan dalam membendung penularan Covid-19.
“Semua langkah pencegahan kesihatan diletakkan di bawah pemeriksaan berterusan termasuk peraturan pengasingan kendiri.
“Keputusan dibuat berdasarkan nasihat sainti k dan kajian klinikal terkini serta pertimbangan teliti terhadap bahaya jangkitan,” katanya.
Dilaporkan, pemimpin Scotland, Wales dan Ireland Utara berada di bawah tekanan untuk mengikut arahan Johnson dan menamatkan peraturan Covid-19 sekali gus membawa keluar UK daripada sekatan dilaksanakan selama dua tahun itu. – AGENSI