LONDON: Britain mengesan dua kes demam Lassa dalam kalangan individu yang baru pulang dari Afrika Barat.
Lapor Daily Mail, pegawai kesihatan mendedahkan dua pesakit demam Lassa itu membabitkan ahli keluarga sama yang tinggal di Timur England.
Dua pesakit itu merupakan antara 10 kes demam Lassa yang pernah dikesan di United Kingdom (UK), dan yang pertama sejak tahun 2009.
Dilaporkan, seorang lagi ahli keluarga kepada pesakit disyaki dijangkiti demam Lassa, namun masih sedang menunggu ujian pengesahannya.
Agensi Keselamatan Kesihatan UK bagaimanapun menegaskan tiada bukti penularan selanjutnya antara kes berkenaan.
Sementara itu, seorang pesakit kes demam Lassa dipindahkan ke Hospital Royal Free di London untuk menerima rawatan pakar, manakala seorang lagi sudah pulih sepenuhnya.
“Individu ketiga disyaki itu sedang dipantau doktor di Bedfordshire Hospitals NHS Foundation Trust,” jelas laporan itu.
Demam Lassa yang tergolong kumpulan sama dengan virus Ebola dan Marburg, disebarkan antara manusia melalui makanan atau peralatan dalam rumah yang dicemari dengan air kencing atau najis tikus.
Gejala penyakit itu termasuk demam, muntah, cirit-birit, sakit kepala dan batuk. – AGENSI